A- A A+





Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith
Senarai Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith

 

1.Definisi Sahur

Imam Ibn al-Athir dalam kitabya al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 2/347) menyebut: “Sahur (السَّحور) dengan baris fathah ialah apa yang dimakan dan diminum semasa bersahur, Manakala suhur (السُّحور) dengan dhammah adalah masdar dan fi'il (perbuatan) itu sendiri. Dalam kebanyakan yang diriwayatkan ia berbaris fathah. Dikatakan yang tepat adalah dengan baris dhammah, kerana apabila huruf sin itu berbaris fathah, ianya membawa maksud makanan. Manakala berkat, ganjaran dan pahala adalah pada perbuatan, bukan pada makanan." Pendapat ini juga dikuatkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqolani dalam ‘Fathul al-Bari’, jilid 4, m/s: 179, Imam An-Nawawi  dalam kitab Syarahnya, jilid 4, m/s: 2981 dan selain daripada keduanya bahawa; ‘السُّحور’ adalah dengan baris fathah sin dan dhammahnya. Jika dengan fathah itu adalah nama bagi makanan yang dimakan ketika sahur dan jika dengan dhammah itu adalah nama bagi perbuatan iaitu bersahur. Kedua-duanya adalah sahih.

Justeru, perkataan ‘السُّحور’ adalah perbuatan makan atau minum pada waktu suhur dengan niat untuk berpuasa.

 

2. Bersahur Itu Berkat

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَسَحَّرُوْا، فَإِنَّ فِي السُّحُوْرِ بَرَكَةً. متفق عليه. واللفظ لمسلم.

أخرجه البخاري في صحيحه،  كتاب الصوم، باب بركة السحور من غير إيجاب، حديث رقم 1923، ولمسلم في صحيحه،  كتاب الصيام، باب فضل السحور وتأكيد استحبابه واستحباب تأخيره وتعجيل الفطر، حديث رقم 1095.

Maksudnya:

Daripada Anas RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya dengan bersahur itu ada keberkatan.” (Muttafaqun ‘Alayhi, riwayat al-Bukhari, no. 1923, Muslim, no. 1095, at-Tirmizi,  no. 708, an-Nasaie, no. 2144, hadith lafaz Muslim)

Catatan:

Berkat adalah berasal daripada bahasa arab iaitu ‘ بَرَكَ ‘. Dari segi bahasa bermakna tempat tinggal, manakala maksudnya adalah pertambahan, peningkatan dan kebahagiaan.  Hakikat keberkatan itu datang daripada Allah SWT melalui pelbagai cara, samada melalui amalan, tempat, doa dan lain-lain.

Bersahur adalah sunat muakkad bagi yang berpuasa. Imam Ibn Hajar al-‘Asqolani dalam ‘Fathul al-Bari’, jilid 4, m/s: 179, mengatakan: “Keberkatan bersahur terhasil daripada sudut yang pelbagai iaitu:

  1. Mengikuti sunnah Nabi SAW
  2. Membezakan puasa ahli kitab yang tidak bersahur
  3. Mendatangkan  kekuatan dalam beribadah
  4. Menambahkan kecergasan dalam berpuasa
  5. Menjadi benteng kepada buruknya akhlak kesan daripada menahan lapar (seperti malas beribadah)
  6. Menjadi galakan untuk bersedekah kepada yang meminta ketika itu
  7. Menjadi galakan untuk berjemaah ketika makan sahur
  8. Menjadi galakan untuk berzikir dan berdoa ketika waktu mustajab doa
  9. Memperingatkan bagi yang lupa berniat puasa sebelum tidur”.

 

3.  Waktu Sahur

عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: تَسَحَّرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قُمْنَا إِلَى الصَّلَاةِ. قُلْتُ: كَمْ كَانَ قَدْرُ مَا بَيْنَهُمَا؟ قَالَ: خَمْسِينَ آيَة. متفق عليه واللفظ لمسلم.

أخرجه البخاري في صحيحه،  كتاب الصوم، باب قدر كم بين السحور وصلاة الفجر، حديث رقم 1921، ولمسلم في صحيحه، كتاب الصيام، باب فضل السحور وتأكيد استحبابه واستحباب تأخيره وتعجيل الفطر، حديث رقم 1097.

Maksudnya:

Daripada Zaid bin Thabit RA, beliau berkata: “Kami telah bersahur bersama Rasulullah SAW, kemudian kami bangun untuk mendirikan solat, aku telah bertanya: “Berapakah jarak (masa) antara keduanya (azan dan sahur)? Maka baginda SAW menjawab: “(sekadar bacaan) 50 ayat." (Hadith riwayat al-Bukhari, no. 1921, Muslim, no. 1097, at-Tirmizi, no. 703, an-Nasaie, no. 2155 dan Ibn Majah, no. 1694, Ahmad, no. 21075, ad-Darimi, no. 1695, al-Baihaqi dalam sunan al-Kubra, no. 2073, Ibn Khuzaimah dalam sahihnya, no. 1941, al-Tabrani dalam al-Kabir, no. 4792)

 

Catatan:

Waktu yang disunnahkan bersahur bermula daripada akhir malam sebelum waktu subuh sehingga terbit fajar al-sadiq dan dikatakan permulaan waktu sahur adalah pada waktu fajar al-Kazib (fajar pertama) sehinggalah fajar al-Sadiq. Imam Ibn Hajar dalam ‘Fathul al-Bari’, jilid 2, m/s: 73, menjelaskan maksud; ‘Berapa jarak antara azan dan sahur?’, iaitu azan Ibn Maktum kerana Bilal RA, mengazankan sebelum waktu fajar (fajar al-Kazib), manakala yang lain mengazankan apabila masuk waktu fajar al-sadiq.”

Imam Ibn Hajar dalam ‘Fathul al-Bari’, jilid 4, m/s: 177, juga menaqalkan al-Muhallab dan selainnya berkata: “Hadith ini menjelaskan jarak waktu dengan amalan badan sebagaimana kebiasaan orang arab melakukannya seperti dengan ukuran memerah susu kambing dan selainnya. Maka Zaid bin Thabit RA menyatakan dalam hadith ini dengan tempoh waktu membaca al-Quran sebagai tanda bahawa pada ketika itu adalah waktu beribadah dengan membaca al-Quran. Namun Ibn Abi Hamzah menjelaskan: “Itu adalah tanda bahawa ketika itu para sahabat sibuk dengan beribadah dan ibadah paling utama yang dimaksudkan adalah mengakhirkan sahur.”

Bersandarkan dengan hadith inilah ulama berselisih kepada 2 pendapat iaitu:

  • Mengatakan bahawa adanya waktu imsak iaitu sekadar tempoh bacaan ayat al-Quran tersebut yang dianggarkan selama 10 minit sebagai sempadan berhati-hati dengan masuknya waktu subuh.
  • Mengatakan imsak adalah dengan masuknya waktu subuh sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 187: “Dan makan dan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar..”.

Apa yang penting adalah larangan untuk meneruskan sahur apabila sudah masuk waktu subuh. Bahkan Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini, jilid 5, m/s: 2982, menyebut: “Maknanya, jarak antara kedua waktu tersebut adalah kadar bacaan 50 ayat al-Quran serta padanya galakan untuk melewatkan sahur sehingga dekat masuk waktu fajar”. Wallahu a’lam.

 

4.  Kadar Makanan Sahur

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ. رواه أحمد

وَلِسَعِيدِ بْنِ مَنْصُورٍ مِنْ طَرِيقٍ أُخْرَى مُرْسَلَةٍ : " تَسَحَّرُوا وَلَوْ بِلُقْمَةٍ".

-أخرجه أحمد في مسنده، باقي مسند المكثرين، مسند أبي سعيد الخدري رضي الله تعالى عنه، حديث رقم 11086،هكذا نقله إبن حجر العسقلاني في فتح الباري 4/ 179 ﻭﻗﺎﻝ ﺍﻟﻤﻨﺬﺭﻱ ﻓﻲ ﺍﻟﺘﺮﻏﻴﺐ ﻭﺍﻟﺘﺮﻫﻴﺐ (2/139): (ﺭﻭﺍﻩ أﺣﻤﺪ ﻭﺇﺳﻨﺎﺩﻩ ﻗﻮﻱ)، ﻭﻗﺎﻝ ﺍﻟﻬﻴﺜﻤﻲ ﻓﻲ ﺍﻟﻤﺠﻤﻊ (3/150): (ﺭﻭﺍﻩ ﺃﺣﻤﺪ ﻭﻓﻴﻪ ﺭﻓﺎﻋﺔ، ﻭﻟﻢ ﺃﺟﺪ ﻣﻦ ﻭﺛﻘﻪ ولا ﺟﺮﺣﻪ، ﻭﺑﻘﻴﺔ ﺭﺟﺎﻟﻪ ﺭﺟﺎﻝ ﺍﻟﺼﺤﻴﺢ)، و صححه شعيب الأرناؤوط في تخريجه ﻭﻗﺪ أﺧﺮﺝ ﺍﺑﻦ ﺣﺒﺎﻥ ﻓﻲ ﺻﺤﻴﺤﻪ (5/194) ﺍﻟﺠﻤﻠﺔ الأﺧﻴﺮﺓ ﻣﻨﻪ: ((ﺇﻥ ﺍﻟﻠﻪ ﻭﻣﻼﺋﻜﺘﻪ ﻳﺼﻠﻮﻥ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﻤﺘﺴﺤﺮﻳﻦ))

Maksudnya:

Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Makanan sahur itu ada keberkatan, maka janganlah seseorang kamu meninggalkannya walaupun dengan seteguk air. Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas orang yang bersahur.” (Hadith sahih riwayat Ahmad, no. 11086 dan riwayat Sa’id bin Mansor daripada jalur yang lain secara mursal: “Bersahurlah kamu sekalian, walaupun dengan sesuap makanan.” Dan dikeluarkan juga oleh Ibn Hibban dalam sahihnya pada lafaz terakhir hadith: “Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas orang yang bersahur.”

Catatan:

Terhasilnya makan sahur itu dengan apa sahaja yang dimakan dan diminum sekalipun sekadar meminum seteguk air dengan berniat bersahur dengannya, sudah memadai untuk mendapat keberkatan daripada bersahur tersebut. Semoga Allah memberikan keberkatan kepadanya.

 

5.  Sebaik-Baik Makanan Sahur Adalah Dengan Buah Tamar

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْر.

رواه أبو داود في سننه، كتاب الصوم، باب من سمَّى السحور الغداء، حديث رقم 2345، وصحَّحه ابن حبان 8: 253 (3475).

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik (makanan) sahur bagi seorang mukmin adalah kurma." (Hadith sahih riwayat Abu Dawud, no.  2345 dan Ibn Hibban dalam sahihnya, no. 3475)

Catatan:

Kurma diangkat tinggi oleh Rasulullah SAW kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang tinggi. Kandungan protein di dalam kurma lebih kurang 1.8 hingga 2.0 peratus, serat 2.0 hingga 4.0 peratus manakala kandungan gulanya 50 hingga 57 peratus glukosa.

Ini menunjukkan kandungan gula di dalamnya telah ditukar secara semulajadi. Ini bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap oleh tubuh adalah serta-merta. Sebaliknya gula di dalam kebanyakan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam tubuh. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap tubuh sebagai tenaga.

Adalah disunatkan bersahur dengan buah kurma bagi mengamalkan sunnah Nabi SAW kerana disebalik sunnah itu ada kejayaan.

 

6.  Sunnah Mengakhirkan Sahur

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: كُنْتُ أَتَسَحَّرُ فِي أَهْلِي ثُمَّ تَكُونُ سُرْعَتِي أَنْ أُدْرِكَ السُّجُودَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

أخرجه البخاري في صحيحه،  كتاب الصوم، باب تعجيل السحور، حديث رقم 1920.

Maksudnya:

Daripada Sahl bin Sa‘ad RA, beliau berkata: “Adalah aku sering bersahur dengan ahli keluargaku, kemudian aku bercepat-cepat agar mendapatkan sujud (solat subuh) bersama Rasulullah SAW.” (Hadith riwayat al-Bukhari, no. 1920)

Catatan:

Imam Ibn Hajar al-‘Asqolani dalam ‘Fathul al-Bari’, jilid 4, m/s: 176, menjelaskan bahawa ‘bercepat-cepat’ untuk makan adalah menunjukkan waktu sahur itu adalah dekat dengan waktu subuh oleh sebab itulah Imam al-Bukhari meletakkan hadith ini dalam ‘Bab Mengakhirkan Sahur’. Berkata al-Zain bin al-Munir; “Mengakhirkan adalah perkara yang berkaitan dengan perbuatan. Jika dikaitkan dengan awal waktu maka ianya akan dinamakan mengawalkan dan sebaliknya jika dikaitakan dengan akhir waktu maka ianya adalah mengakhirkan. Oleh itu Imam al-Bukhari mengatakan mengakhirkan bagi menjelaskan bahawa para sahabat bercepat-cepat bersahur mengejar waktu subuh kerana takut masuknya waktu subuh dan terlepasnya solat subuh dalam perjalanan mereka ke masjid.

Justeru itu, adalah disunnahkan mengakhirkan sahur agar tidak terlepas seseorang yang berpuasa untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah kerana Rasulullah SAW pernah bersabda: “ Sesiapa yang mendirikan solat subuh secara berjemaah seolah-olah dia telah solat sepanjang malamnya.” (Hadith riwayat Muslim, no. 656, Abu Dawud, no. 555, at-Tirmizi, no. 221, Ahmad, no. 385)

 

7. Sahur Membezakan Puasa Ahli Kitab

عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ.

 أخرجه مسلم في صحيحه ، كتاب الصيام، باب فضل السحور وتأكيد استحبابه واستحباب تأخيره وتعجيل الفطر، حديث رقم 1096.

Maksudnya:

Daripada ‘Amru bin al-‘AshRA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Perbezaan antara puasa kita dengan puasanya ahli Kitab adalah makan sahur." (Hadith riwayat Muslim, no. 1096, Abu Dawud, no. 2343, At-Tirmizi, no. 708, an-Nasaie, no. 2166)

Catatan:

Ibadah puasa telah diwajibkan ke atas ahli kitab (yahudi dan nasrani) sebelumnya dan telah diwajibkan juga kepada umat Nabi Muhammad tetapi terdapat beberapa perbezaan antara puasa mereka iaitu :

  1. Umat Nabi Muhammad SAW diwajibkan berpuasa setahun sekali iaitu pada bulan Ramadhan.
  2. Disunatkan bagi orang Islam yang hendak berpuasa makan sahur sebelum masuk waktu subuh dan lain-lain lagi.

 

Wallahu 'Alam.

Pin It