A- A A+





Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith
Senarai Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith

Puasa Ramadhan adalah salah satu daripada rukun-rukun Islam yang lima. Ianya merupakan ibadah yang telah difardhukan oleh Allah SWT. Maksud Ibadah ialah tuntutan ke atas seseorang hamba bagi melaksanakannya sebagai memenuhi perintah Allah SWT dan menunaikannya tanpa melihat apa-apa natijah yang mungkin dihasilkan daripada ibadah tersebut. Namun Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, apabila menfardhukan sesuatu ibadah kepada hamba-Nya pasti ada kelebihan dan ganjaran yang dijanjikan. Antara kelebihannya:

1. Natijah Puasa adalah Taqwa

  يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٨٣

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Catatan:

Ibadah puasa adalah ibadah rohaniah dan jasadiah. Apabila ibadah puasa dilaksanakan dengan menjaga Sunnah dan adab berpuasa maka hasil daripadanya akan membentuk seorang hamba yang benar-benar bertaqwa di sisi Allah SWT.

 

2. Ramadhan Bulan al-Quran

شَهْرُرَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ١٨٥

Maksudnya:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk  dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka (bolehlah dia berbuka  kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang  demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Catatan:

Al-Quran yang mulia telah diturunkan kepada manusia yang paling mulia iaitu Nabi Muhammad SAW, kepada umat yang paling mulia, iaitu umat Baginda SAW dan di bulan yang paling mulia, iaitu bulan Ramadhan dan orang yang membacanya adalah orang yang mulia.

 

3. Puasa Menghapuskan Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ؛ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَقُوْلُ: اَلصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتُ مَا بَيْنَهُنَّ إَذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ.

-أخرجه مسلم في صحيحه،كتاب الطهارة، باب الصلوات الخمس والجمعة إلى الجمعة ورمضان إلى رمضان مكفرات لما بينهن ما اجتنبت الكبائر، حديث رقم 233.

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Solat lima waktu, dari hari Jumaat ke jumaat  (berikutnya) dan Ramadhan ke Ramadhan (berikutnya) akan menghapuskan (dosa-dosa) di antara tempoh tersebut apabila menjauhi dosa-dosa besar." (Hadits Riwayat Muslim, no.233, at-Tirmizi, no. 214)

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. متفق عليه

-أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب الإيمان، باب صوم رمضان إحتسابا من الإيمان، حديث رقم 38 و 2014.

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan keredhaan Allah) akan diampunkan dosanya yang terdahulu." (Muttafaqun 'Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, no. 38, 2014, Muslim, no. 760)

Catatan:

Puasa adalah pintu segala ibadah kerana dengan berpuasa Allah SWT akan mengampuni dosa-dosa seseorang hamba.  Apabila dosa-dosanya diampunkan maka ianya  menjadikan hati bercahaya dan cahaya itu akan menimbulkan keghairahan untuk melakukan setiap amal ibadah yang lain dengan bersungguh-sungguh. Namun, ulama mengingatkan bahawa hanya dosa-dosa kecil sahaja yang terhapus dan dosa-dosa besar tidak akan terhapus melainkan dengan hanya bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat.

 

4. Allah Sendiri Yang Menganjari Orang Yang Berpuasa

عن أبي هريرة رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قَالَ اللَّهُ: كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. متفق عليه.

-أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب الصوم، باب هل يقول إني صائم إذا ستم، حديث رقم 1904.

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT berfirman: "Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu milik Aku (Allah) dan akulah yang akan membalasnya.” (Muttafaqun “Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, 1904, Muslim 1151)

Catatan:

Makna “Sesungguhnya puasa itu milik Aku (Allah) dan akulah yang akan membalasnya”, iaitu puasa merupakan amalan batin yang hakikatnya tidak diketahui melainkan Allah SWT yang Maha Mengetahui dan orang yang melakukannya sendiri sahaja. Ia merupakan ibadah yang berbentuk niat dalam hati dan berbeza dengan semua amalan lain yang boleh dilihat oleh mata orang lain dan tidak lepas daripada syirik, riya’, ujub serta takkabur. Manakala puasa, ia lebih pada amalan yang bersifat rahsia antara seorang hamba dengan Rabb-nya.

Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra merekodkan ulasan Al-Imam Sufyan bin Uyainah kepada hadith di atas; Seorang lelaki telah bertanya kepada al-Imam Sufyan bin ‘Uyainah:

"يَا أَبَا مُحَمَّدٍ! فِيمَا يَرْوِيهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ : كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ".

(Wahai Abu Muhammad! Terangkan kepada aku tentang hadith Nabi SAW daripada Tuhannya ‘Azza Wajalla: “Setiap amal anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Sesungguhnya ia milik aku dan akulah yang akan membalasnya”.

فَقَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ : هَذَا مِنْ أَجْوَدِ الأَحَادِيثِ وَأَحْكَمِهَا، إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ يُحَاسِبُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَبْدَهُ ، وَيُؤَدِّي مَا عَلَيْهِ مِنَ الْمَظَالِمِ مِنْ سَائِرِ عَمَلِهِ حَتَّى لا يَبْقَى إِلا الصَّوْمُ فَيَتَحَمَّلُ اللَّهُ عَنْهُ مَا بَقِيَ عَلَيْهِ مِنَ الْمَظَالِمِ ، وَيُدْخِلُهُ بِالصَّوْمِ الْجَنَّةَ .

(Al-Imam Ibn ‘Uyainah menjawab: “Ini merupakan hadith yang paling baik dan penuh hikmah kandungannya. Apabila berlakunya hari kiamat, Allah ‘Azza Wajalla akan menghisab setiap amalan hambanya. Setiap kezaliman akan disempurnakan pembalasannya dengan semua amalan pelaku kezaliman itu akan  dijadikan kafarah kepada dosa kezalimannya sehinggalah tidak tinggal sedikit pun daripada amalannya kecuali puasa. Lalu Allah ‘Azza Wajalla menghapuskan dosa yang berbaki daripada kezaliman tersebut dengan sebab amalan puasa. Lalu pelaku kezaliman itu dimasukkan ke dalam syurga kerana pahala puasa tadi.”)

Imam Ibn Rajab dalam kitabnya ‘Lataif al-Ma’arif” menyimpulkan:

“أن الصيام لله عز و جل فلا سبيل لأحد إلى أخذ أجره من الصيام بل أجره مدخر لصاحبه”

(Sesungguhnya puasa adalah milik Allah ‘Azza Wajalla. Tidak ada jalan bagi seseorang pun untuk merampas pahala puasa. Bahkan pahala puasa itu akan kekal bersama pemiliknya).

 

5. Dua Kegembiraan Bagi Yang Berpuasa

عن أبي هريرة رضي الله عنه، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ. متفق عليه.

-أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب الصوم، باب هل يقول إني صائم إذا ستم، حديث رقم 1904.

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Bagi orang yang berpuasa (dengan menjaga Sunnah dan adabnya) akan mendapatkan dua kegembiraan yang dia akan bergembira dengan keduanya; (pertama) apabila berbuka dia bergembira (dapat melaksanakan puasa) dan (kedua) apabila berjumpa dengan Rabbnya, dia bergembira disebabkan ibadah puasanya itu.” (Muttafaqun “Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, 1904, Muslim 1151)

Catatan:

Semua manusia menginginkan kegembiraan, namun hanya sedikit sahaja yang mendapat kegembiraan sejati. Kebanyakan manusia terjerumus dalam kegembiraan palsu yang penghujungnya adalah kesengsaraan. Kegembiraan hakiki itu hanyalah daripada Allah SWT. Melalui ibadah puasa, Allah SWT berjanji melalui lidah Rasul-Nya akan mengurniakan dua kegembiraan kepada orang yang berpuasa.

 

6. Doa Makbul Dengan Berpuasa

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ‏: قَالَ رسولُ الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم: ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ ، الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرُ ، وَالإِْمَامُ الْعَادل وَدَعْوَةُ الْمَظْلُوْمِ ، يَرْفَعُهَا اللهُ فَوْقَ الْغَمَامِ ، وَتُفْتَحُ لَهَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ وَيَقُوْلُ الرَّبُّ : وَعِزَّتِيْ وَجَلاَلِيْ َلأَنْصُرَنَّكَ وَلَوْ بَعْدَ حِيْنٍ.

-أخرجه الترمذي في سننه، كتاب الدعوات، باب في العفو والعافية، حديث رقم 3598، وقَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ.

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga orang yang tidak akan ditolak doa-doa mereka. (Pertama) Seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, (kedua) seorang imam (pemerintah) yang adil dan (ketiga) doa seorang yang dizalimi.  Allah SWT akan mengangkat doanya ke atas awan dan dibukakan untuknya pintu-pintu langit dan Allah SWT akan berfirman: “Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, pasti Aku (Allah) akan menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika (demi sesuatu kemaslahatan)”. (Hadith hasan riwayat At-Tirmidzi, no. 3598, Ibn Majah, no. 1752, al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, no. 6260, Ibnu Khuzaimah, no. 119).

Catatan:

Allah SWT itu Maha Mendengar akan setiap permohonan hamba-hamba-Nya. Adalah diketahui daripada banyak hadith bahawa doa–doa dalam bulan Ramadhan diterima secara khusus.Tidak ada apa-apa keraguan lagi dalam penyempurnaan perkara ini kerana Allah SWT telah berjanji dan janji itu disampaikan pula oleh seorang Rasul yang benar.

Jika perkara yang diminta itu ada kebaikan untuknya maka akan diberikan, jika tidak maka tidak akan diperkenankan atau diganti dengan yang lebih perlu baginya atau akan disempurnakan di akhirat nanti. Ini adalah satu ehsan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Walaubagaimanapun kerana kurang penelitian, seseorang hamba akan meminta sesuatu perkara yang tidak sesuai untuknya.  Justeru, janganlah pula terfikir bahawa sesuatu doa itu tidak dimakbulkan, sebaliknya hendaklah memahami erti sebenar penerimaan sesuatu doa tersebut. Justeru, sempurnakan perintah-perintah Allah nescaya Allah akan menerima doa-doa yang dipohon oleh hamba-Nya.

 

7. Ar-Rayyan Pintu Syurga Untuk Yang Berpuasa

عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ" متفقٌ عليه.

التخريج:   صحيح البخاري، كتاب الصوم، باب الريان للصائمين، حديث رقم 1896.

Maksudnya:

Daripada Sahl bin Sa‘ad RA berkata, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya di syurga ada satu pintu yang diberi nama Ar-Rayyan, iaitu pintu masuk bagi orang yang berpuasa di hari kiamat. Tidak akan masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, akan diseru oleh penjaganya: ”Dimanakah orang yang berpuasa?  Maka mereka yang berpuasa pun bangun (memasukinya), tidak ada yang akan memasukinya melaikan mereka sahaja. Apabila mereka memasukinya, pintu itu akan ditutup, maka tiada siapa lagi yang akan dapat memasukinya. (Muttafaqun ‘Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, no. 1896, Muslim, no. 1152,  At-Tirmizi, no. 765, An-Nasaie, no. 2237)

Catatan:

Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.

Pintu tersebut dinamakan “Ar-Rayyan” yang berasal dari kalimah “Array” dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama. Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila  memasukinya akan hilanglah segala kehausannya selama-lamanya sebagaimana apabila kita sesat di padang pasir yang panas dalam keadaan kehausan dan apabila disebutkan air maka akan terasa kehausan itu semakin berkurangan walaupun sebenarnya kita belum meminumnya lagi. Bayangkanlah apabila kita dapat menikmati air tersebut tatkala kehausan. Betapakah nikmatnya tidak dapat diperkatakan.

 

8. Pintu-Pintu Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ، يَا عَبْدَ اللَّهِ، هَذَا خَيْرٌ. فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلَاةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلَاةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَى مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ كُلِّهَا، قَالَ: نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ. متفق عليه.

 التخريج: صحيح البخارى، كتاب فضائل الصحابة، باب قول النبى صلى الله عليخ وسلم لو كنت متخذ خليلا حديث رقم 1897.

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “Sesiapa yang membelanjakan dua dari sesuatu hartanya pada jalan Allah, akan diseru daripada pintu-pintu syurga: “Wahai hamba Allah, ini adalah satu kebaikan, maka sesiapa yang terdiri daripada kalangan ahli solat, akan diseru daripada pintu solat, sesiapa yang terdiri daripada kalangan ahli jihad, akan diseru dari pintu jihad, sesiapa yang terdiri daripada kalangan ahli puasa, akan diseru daripada pintu al-Rayyan, sesiapa yang terdiri daripada kalangan ahli sedekah, akan diseru daripada pintu sedekah.” Maka Abu Bakar RA berkata: “Demi bapa dan ibuku (bertujuan untuk memuliakan Baginda SAW), engkau wahai Rasulullah! Tiadalah ke atas orang yang diseru daripada pintu-pintu itu ditimpa daripada sebarang kemudharatan dan kerugian, maka adakah terdapat orang yang akan diseru daripada semua pintu itu? Baginda menjawab: “Ya, aku berharap bahawa engkau adalah daripada kalangan mereka.  (Muttafaqun ‘Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, no. 1897, 2841, 3216, 3666, Muslim, no. 1027)

Catatan:

Seorang yang benar-benar beriman pada zahirnya, di samping menunaikan amalan fardhu akan membanyakkan amalan yang sunat. Setiap ahli syurga akan diseru mengikut amalan masing-masing. Sesiapa yang daripada kalangan ahli solat akan diseru daripada pintu solat. Ahli solat adalah orang yang banyak bersolat. Dengan menunaikan solat fardhu berjamaah dan banyak mengerjakan solat-solat sunat barulah layak dipanggil sebagai ahli solat. Sesiapa yang daripada kalangan ahli puasa dia akan diseru daripada pintu al-Rayyan. Ahli puasa ialah orang yang banyak berpuasa. Di samping dia berpuasa di bulan Ramadan yang merupakan puasa wajib, dia juga banyak berpuasa sunat sehingga layaklah dia digelar ahli puasa. Sesiapa daripada kalangan ahli sedekah dia akan diseru daripada pintu sedekah. Ahli sedekah ialah orang yang banyak bersedekah. Di samping dia menunaikan sedekah-sedekah wajib (zakat) dia juga banyak bersedekah sunat sehingga layak dia dipanggil ahli sedekah.

 

9. Puasa dan al-Quran Pemberi Syafaat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ الصِّيَامُ: أَيْ رَبِّ مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ. وَيَقُولُ الْقُرْآنُ: مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ. قَالَ: فَيُشَفَّعَانِ

التخريج: مسند أحمد، مسند المكثرين من الصحابة، مسند عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله تعالى عنهما،  حديث رقم 6337، وقال الطبراني في الكبير ، ورجاله محتج بهم في الصحيح، وقال الحاكم: هذا حديث صحيح على شرط مسلم ، ولم يخرجاه، كذا ذكره المنذري.

Maksudnya:

Daripada Abdullah bin Amru RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Puasa dan al-Quran akan memberikan syafaat kepada hamba (orang yang berpuasa dan yang sentiasa membaca al-Quran) di hari kiamat nanti. Puasa akan berkata: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku telah menahan hamba-Mu ini daripada makan, minum dan perkara syahwat pada waktu siang, maka terimalah syafaatku kepadanya. Manakala al-Quran pula akan berkata:” Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku telah menahan hamba-Mu ini daripada tidur di malam hari, maka terimalah syafaatku kepadanya. Baginda bersabda: “Maka Allah pun menerima akan kedua-dua syafaat tersebut.” (Hadith sahih riwayat Ahmad, no. 6337, al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 2080, al-Haithami dalam al-Zawaid, no. 18543 ).

Pengajaran hadith:

  1. Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang amat istimewa dan unggul kerana Allah SWT mencurahkan pahala, rahmat dan keampunan-Nya pada setiap hari, setiap jam, setiap detik dan saat sepanjang Ramadhan tanpa henti berbanding bulan-bulan yang lain.
  1. Di hari kiamat nanti semua manusia akan membawa diri masing-masing kerana tiada siapa lagi pada hari tersebut yang dapat memberikan pertolongan. Namun selain daripada syafaat Nabi SAW ke atas umat baginda, solat, puasa, Al-Quran dan amalan-amalan kebaikan lain akan menjadi syafaat yang diterima oleh Allah SWT untuk mereka yang telah menunaikan ibadat tersebut dengan sebaik-baiknya. Alangkah indah dan beruntungnya kehidupan seorang Muslim yang pada waktu siangnya senantiasa berpuasa dan pada malam harinya membaca Al-Quran serta sibuk mendekatkan diri kepada Allah SWT disamping melakukan amalan-amalan ibadah yang lain.
  1. Sebaliknya amatlah rugi dan kesal bagi mereka yang mengabaikan serta tidak mengendahkan perintah-perintah Allah SWT. Begitu juga apabila mereka melakukan amalan-amalan tersebut dengan malas dan sambil lewa. Bahkan amalan-amalan tersebut akan mengutuk dan mendoakan kecelakaan kepada mereka di hari kiamat nanti.
Pin It