A- A A+





Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith
Senarai Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith

Puasa Ramadhan difardhukan pada tahun kedua hijrah. Ibadah puasa memang telah diketahui oleh umat yang terdahulu dan juga ahli-ahli kitab yang hidup sezaman dengan Nabi SAW. Firman Allah SWT:

 

  يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٨٣

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

  1. Kefardhuan Puasa Ramadhan

عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ ، أَنَّ أَعْرَابِيًّا جَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَائِرَ الرَّأْسِ ، فَقَالَ: "يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَخْبِرْنِي مَاذَا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ ؟ فَقَالَ : الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ ، إِلَّا أَنْ تَطَّوَّعَ شَيْئًا ، فَقَالَ : أَخْبِرْنِي مَا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ مِنَ الصِّيَامِ ؟ فَقَالَ : شَهْرَ رَمَضَانَ ، إِلَّا أَنْ تَطَّوَّعَ شَيْئًا ، فَقَالَ : أَخْبِرْنِي بِمَا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ مِنَ الزَّكَاةِ ؟ فَقَالَ : فَأَخْبَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَرَائِعَ الْإِسْلَامِ ، قَالَ : وَالَّذِي أَكْرَمَكَ لَا أَتَطَوَّعُ شَيْئًا وَلَا أَنْقُصُ مِمَّا فَرَضَ اللَّهُ عَلَيَّ شَيْئًا ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَفْلَحَ إِنْ صَدَقَ ، أَوْ دَخَلَ الْجَنَّةَ إِنْ صَدَقَ". متفق عليه.

-أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب الصيام، باب وجوب صوم رمضان، وقوله تعالى: يا أيها الذين أمنوا كتب عليكم الصيام... ، حديث رقم  1891 وفيه 6956، والنسائي في سننه، حديث رقم  2090، 50

Daripada Talhah bin Ubaidullah RA, bahawa seorang arab badwi menemui Rasulullah SAW dalam keadaan kepalanya penuh debu, lalu berkata: “Ya Rasulullah, beritahukanlah kepadaku solat apakah yang Allah wajibkan atasku?”. Baginda SAW menjawab: "Solat lima waktu, kecuali jika engkau suka mengerjakan solat sunat." Si arab badwi tadi bertanya lagi: “Beritahukanlah kepadaku puasa apakah yang Allah wajibkan bagiku?”. Baginda SAW menjawab: "Puasa bulan Ramadhan, kecuali jika engkau suka mengerjakan puasa sunat.” Si arab badwi tadi  bertanya lagi: “Beritahukanlah kepadaku, zakat apakah yang Allah wajibkan atasku? “, maka Rasulullah SAW memberitahukan kepadanya tentang syariat-syariat Islam, lalu arab badwi tersebut mengataka:  “Demi Zat yang memuliakanmu, saya tidak suka melakukan yang sunat dan tidak akan mengurangi sedikitpun yang telah Allah fardhukan ke atas diriku.” Maka Rasulullah SAW bersabda; "Dia seorang yang beruntung jika dia benar atau  dia akan memasuki syurga jika dia benar."  (Muttafaqun ‘Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, no.1891, 6956, an-Nasaie, no. 2090,5028)

  1. Ramadhan Bulan Rahmat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ.متفق عليه.

  • أخرجه البخاري في صحيحه ، كتاب بدء الخلق، باب صفة إبليس وجنوده، حديث رقم 3277، ولمسلم في صحيحه،كِتَاب الصِّيَامِ، بَابُ فَضْلِ شَهْرِ رَمَضَانَ، حديث رقم 1079.

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tatkala datang bulan Ramadhan,  maka akan dibuka pintu-pintu syurga, akan ditutuplah pintu-pintu neraka dan akan dibelenggu syaitan-syaitan dengan rantai”. (Muttafaqun ‘Alayhi, hadith riwayat al-Bukhari, no. 3277, Muslim, no. 1079).

  1. Ramadhan Bulan Pahala

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌ مُبَارَكٌ فَرَضَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ تُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَتُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ وَتُغَلُّ فِيهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِينِ لِلَّهِ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ.-   رواه النسائي في سنن الصغرى،  كِتَاب الصِّيَامِ ، بَاب فَضْلِ شَهْرِ رَمَضَانَ، حديث رقم 2106، عن أبي قلابة، وانظر "مسند أحمد" (7148، 9493، 8979) تحقيق شاكر، عن أبي هريرة، قال الشيخ أحمد شاكر في التعليق على مسند أحمد (7148) ، إسناده صحيح، وفى "التهذيب" يقال أنه لم يسمع من أبي هريرة ولم أجد ما يؤيد هذا، وأبو قلابة -عبد الله بن زيد- لم يعرف بتدليس والمعاصرة كافية في الحكم بوصل الإسناد.

Maksudnya :

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata;, Rasulullah SAW bersabda : “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang dipenuhi keberkatan , bulan dimana Allah menfardhukan pada siangnya berpuasa, bulan dimana dibukakan pintu-pintu langit, bulan dimana pintu-pintu neraka ditutup, bulan dimana syaitan-syaitan dirantaikan, bulan dimana padanya ada satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mendapat kebaikan pada bulan ini maka rugilah dia”. (Hadith sahih riwayat An-Nasaie, no. 2106, Ahmad, no. 7148,8979,9493).

  1. Ramadhan Bulan Ketaatan

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ.-أخرجه الترمذي في سننه، كِتَاب الصَّوْمِ ، بَاب مَا جَاءَ فِي فَضْلِ شَهْرِ رَمَضَانَ، حديث رقم 682، وقال الترمذي، حديث غريب، وقال الحاكم في المستدرك، هذا حديث صحيح على شرط الشيخين ، ولم يخرجاه بهذه السياقة وصححه إبن حبان، وسكت عليه الذهبي في تلخيصه، وقال الجزري: هذا إسناد صحيح.والله أعلم. 

Maksudnya:Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Pada malam pertama bulan Ramadhan, syaitan-syaitan dan jin-jin yang jahat dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, tidak ada satupun pintu yang terbuka dan pintu-pintu syurga dibuka, tidak ada satupun pintu yang tertutup, lalu seorang penyeru menyeru:  “Wahai yang mengharapkan kebaikan bersegeralah (kepada ketaatan), wahai yang mengharapkan keburukan/maksiat, berhentilah (daripada melakukan kemaksiatan), dan Allah SWT  akan membebaskan hamba-hamba yang selamat daripada api neraka pada setiap malam (di bulan Ramadhan)". (Hadith riwayat At-Tirmizi, no 682, An-Nasaie, no. 2097, Ibnu Majah, no. 1642, Malik dalam al-Muwatta’, no. 684, al-Baihaqi dalam sunan al-Kubra, no. 8284; Ad-Darimi dalam sunannya, no. 1775, Ibnu Hiban dalam sahihnya no. 3435, Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya, no. 188,  Al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 1532, Al-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir, no. 326, dalam Al-Mu’jam al-Awsat, no. 1563).  

 

Pengajaran hadith :

1.    Segala puja dan puji milik mutlak Allah SWT yang telah mengabulkan doa hamba-Nya dan memberikan kepada hamba-Nya peluang serta kesempatan untuk mendapat rahmat dan keampunan disebalik kedatangan Ramadhan.  

2.    Perkataan Ramadhan berasal daripada kata dasar " رَمَضَ " , yang bererti “panas” atau “panas yang menyengat”. Perkataan ini berkembang sehingga ertinya membawa maksud “menjadi panas atau sangat panas”, atau diertikan juga sebagai “hampir membakar”. Makna Ramadhan boleh diringkaskan sebagai waktu atau keadaan di mana seseorang merasa panas, mulut terasa kering dan tenggorok terasa haus disebabkan sedang berpuasa. 

3.    Dikhabarkan para salafussoleh melakukan persiapan enam bulan sebelumnya untuk menghadapi Ramadhan dan sentiasa berdoa agar berkesempatan bertemu Ramadhan. Imam Ibn Rejab al-Hanbali dalam kitabnya ‘Lataif al-Ma’arif’ (muka surat 154-158) berkata: “Hadith ini merupakan sumber asal dalam menyatakan Nabi SAW dan para sahabat RA akan saling mengucapkan tahniah dan memberikan khabar gembira apabila datangnya Ramadhan. Justeru, bagaimanakah seorang beriman tidak akan bergembira apabila semua pintu syurga dibuka tanda rahmat Allah terbuka luas kepada hamba-Nya. Bagaimanakah pula seorang beriman tidak akan bergembira apabila semua pintu neraka ditutup, mengambarkan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya dengan keampunan. Bagaimanakah pula kegembiraan tersebut akan lebih bertambah apabila syaitan-syaitan dibelenggu daripada menghasut dan memperdaya hamba-hamba Allah untuk tidak merebut peluang ini. Bilakah lagi masanya? Bersegeralah wahai orang beriman  dengan memperbanyakkan amalan dan berhentilah wahai pelaku maksiat kerana mungkin ini Ramadhan-mu yang terakhir.Marilah kita bersama menyatakan kesyukuran dan memohon keselamatan daripada sebarang gangguan untuk menelusuri Ramadhan ini dengan berdoa:

اللَّهُمَّ سَلِّمْنَا لِرَمَضَانَ وَسَلِّمْ رَمَضَانَ مِنَّا ، وَتَسَلَّمْهُ مِنَّا مُتَقَبَّلا

(Ya Allah, sampaikanlah kami kepada bulan Ramadhan, sampaikanlah bulan Ramadhan kepada kami dan terimalah ia daripada kami dengan sebenar-benar penerimaan). (Diriwayatkan oleh al-Tabrani dalam kitabnya ‘al-Du’a’, no. 902, al-Dailami dalam musnad al-Firdaus, daripada Ubadah bin Somit RA, beliau berkata: Adalah Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kami beberapa kalimah doa apabila datangnya Ramadhan).

Pin It