A- A A+





Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith
Senarai Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith

Persoalan:

Telah tersebar beberapa video rakaman azan ada yang berdurasi 24 saat, 44 saat dan 46 saat yang menyebut "Solatlah di rumah-rumah kamu". Apakah sumber hadith azan tersebut?

 

Jawapan:

Susulan penyebaran wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan sehingga diisytiharkan sebagai pandemik, pihak berkuasa Kuwait telah mengeluarkan arahan menutup sementara masjid di negara itu dan menyeru rakyatnya menunaikan solat di kediaman masing-masing.

Menurut media antarabangsa Middle East Eye, laungan azan yang berkumandang di negara itu telah diubah daripada seruan asal iaitu: حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ - “Marilah mendirikan solat” kepada perkataan; صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ - "Solatlah kamu di rumah-rumah kamu.”

Pengumuman itu dibuat pada Jumaat yang lalu oleh Kementerian Hal Ehwal Awqaf dan Islam Kuwait selain beberapa video laungan azan yang mengarahkan umat Islam untuk menunaikan solat di rumah telah tular di media sosial.

 

Pendalilan

Lafaz azan tersebut ada dijelaskan dalam beberapa kitab fiqh dan hadith yang disebutkan dalam banyak riwayat yang berlainan lafaznya tetapi maksudnya sama. Di sini dinyatakan salah satu riwayat hadith, iaitu:

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ: حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ قَالَ: أَخْبَرَنِي عَبْدُ الْحَمِيدِ صَاحِبُ الزِّيَادِيِّ قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الْحَارِثِ ابْنُ عَمِّ مُحَمَّدِ بْنِ سِيرِينَ، قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ لِمُؤَذِّنِهِ فِي يَوْمٍ مَطِيرٍ، إِذَا قُلْتَ: أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ فَلَا تَقُلْ: حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ، قُلْ: صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ، فَكَأَنَّ النَّاسَ اسْتَنْكَرُوا قَالَ: فَعَلَهُ مَنْ هُوَ خَيْرٌ مِنِّي إِنَّ الْجُمْعَةَ عَزْمَةٌ وَإِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أُحْرِجَكُمْ فَتَمْشُونَ فِي الطِّينِ وَالدَّحَضِ. رواه البخاري ومسلم وأبو داود وإبن ماجه.

Maksudnya:

Musaddad telah menceritakan kepada kami, beliau berkata; Isma'il telah menceritakan kepada kami, beliau berkata; 'Abdul Hamid sahabatnya Az-Ziyadi telah mengkhabarkan kepadaku, beliau berkata; 'Abdullah bin Al Harith anak bapa saudaranya Muhammad bin Sirin telah menceritakan kepada kami, beliau berkata; Ibnu 'Abbas RA berkata kepada muazzinnya saat hari turun hujan lebat: "Jika kamu sudah mengucapkan: أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ', janganlah kamu sambung dengan; حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ : (Marilah mendirikan solat) '. Tapi serukanlah; صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ : (Solatlah kamu di rumah-rumah kamu)." Lalu orang ramai seakan mengingkarinya. Maka Ibnu 'Abbas RA pun berkata; "Sesungguhnya hal yang demikian ini pernah dilakukan oleh orang yang lebih baik daripadaku. Sesungguhnya solat Jumaat adalah satu ‘azimah (ketetapan) dan aku tidak suka untuk mengeluarkan kalian (untuk menunaikan solat), sehingga kalian berjalan di tanah yang penuh dengan air dan lumpur." (Hadith riwayat al-Bukhari, no. 901, Muslim, no. 699, Abu Dawud, no. 1066, Ibn Majah, no. 939).

 

Sumber hadith

  1. Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, Kitab al-Jumaat, Bab al-Rukhsatu In Lam Yahdhur al-Juma‘ati fi al-Mator, no. 901, daripada ‘Abdullah bin Abbas RA.
  2. Imam Muslim dalam Sahihnya, Kitab Solatu al-Musafir Wa Qashriha, Bab as-Solatu ar-Rihal Fi al-Mator, no. 699, daripada ‘Abdullah bin Abbas RA.
  3. Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab as-Solah, Bab al-Takhalluf ‘Ani al-Jama‘ah Fi al-Laylati al-Baaridati Awi al-Laylati al-Matirati, no. 1066, daripada ‘Abdullah bin Abbas RA.
  4. Imam Ibn Majah dalam Sunannya, Kitab Iqamati as-Solati Wa al-Sunnatu Fiha, Bab al-Jama‘ah Fi al-Laylati al-Mutirati, no. 939, daripada ‘Abdullah bin Abbas RA.

 

Huraian ringkas

Beberapa riwayat hadith ada menyatakan beberapa lafaz seruan azan yang diubah dan mempunyai makna dan maksud yang sama boleh digunakan bagi menggantikan lafaz seruan hay’alatain (حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ، حَىَّ عَلَى الفَلاَحِ) antaranya;

1.Lafaz (صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ) – “Solatlah kamu di rumah-rumah kamu”

2.Lafaz (صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ) – “Solatlah kamu di rumah-rumah kamu”

3.Lafaz (الصَّلَاةُ فِي الرِّحَالِ) – “Solatlah kamu di rumah-rumah kamu”

Lafaz tersebut diubah bagi memberitahu ahli qaryah agar menunaikan solat di rumah masing-masing tanpa perlu solat di masjid disebabkan keuzuran yang dibenarkan sebagaimana dalam hadith ini keuzurannya adalah hujan lebat. Imam al-Jurdani dalam kitabnya Fathu al-‘Alam Bisyarhi Mursyidi al-Anaam (2/130) menyebut: “Sebagaimana menjawab lafaz seruan muazzin hay’alatain (حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ، حَىَّ عَلَى الفَلاَحِ), maka ketika waktu malam hujan lebat dengan seruan azan: (صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ) – “Solatlah kamu di rumah-rumah kamu” juga dijawab dengan: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ – (Tiada daya (dalam melakukan ketaatan) dan upaya (dalam meninggalkan maksiat) melainkan dengan pertolongan Allah jua).

 

Beberapa Pendapat Ulama

Imam Ibn Hajar al-Asqolani dalam kitabnya Fathu al-Bary (2/494) dalam mensyarahkan hadith ini menyebut: “Apa yang dikehendaki daripada maksud “Solat Jumaat adalah satu ‘azimah (ketetapan)” iaitu jika sekiranya muazzin meninggalkan seruan; حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ - (Marilah mendirikan solat) bagi menarik perhatian kepada yang mendengarnya untuk datang ke masjid dalam keadaan hujan lebat nescaya akan menyulitkannya, maka muazzin itu diperintahkan untuk menyeru; (صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ) – “Solatlah kamu di rumah-rumah kamu”, bagi memberitahu dengan sebab hujan lebat itu adalah salah satu keuzuran yang dirukhsahkan bagi sesuatu kewajipan.”

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu‘ (3/138) menaqalkan kalam Imam al-Syafie yang menyebut: “Jika sekiranya waktu malam hujan lebat atau angin kuat dan gelap-gelita, adalah mustahab (sunat) seorang muazzin selepas daripada azannya menyebut: (أَلاَ صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ) – “Ketahuilah oleh kamu, solatlah kamu di rumah-rumah kamu”, dan sekiranya muazzin menyebutnya ketika azan iaitu selepas menyebut lafaz hay’alatain (حَىَّ عَلَى الصَّلاَةِ، حَىَّ عَلَى الفَلاَحِ), maka dibolehkan, inilah yang dinaskan.”

Imam al-Nawawi juga dalam syarahnya bagi Sahih Muslim (3/213) menyebut:

Rukhsah Ketika Hujan Lebat

“Hadith ini adalah dalil kelonggaran tidak mendirikan solat berjemaah disebabkan hujan lebat dan yang seumpamanya daripada keuzuran. Bahkan solat dituntut didirikan secara berjemaah melainkan disebabkan keuzuran tersebut. Pensyariatan ini juga merupakan satu kewajipan dengan berjemaah melainkan apabila timbul kesulitan bagi mendirikannya.”

Pelaksanaan

“Berdalilkan hadith Ibn ‘Abbas RA ini, hendaklah muazzin melaungkan: (صَلُّوا فِي رِحَالِكُمْ) – “Solatlah kamu di rumah-rumah kamu” ketika azan. Manakala dalam hadith Ibn ‘Umar RA pula, hendaklah muazzin menyebutnya selepas daripada azan. Kedua-dua cara ini adalah diharuskan sebagaimana dinaskan oleh Imam al-Syafi‘I dalam Kitab al-Umm dalam Kitab al-Azan dan inilah yang diikuti oleh jumhur ashab kami (pengikut mazhab syafi‘i). Ianya harus selepas azan dan ketika azan bersumberkan dalil Sunnah pada kedua-duanya, tetapi pendapat selepas azan itu adalah lebih baik bagi mengekalkan lafaz azan yang asal.

Hujan Lebat Adalah Keuzuran Daripada Berjumaat dan Berjemaah

Imam al-Nawawi (3/214) pula mengakhiri syarah hadith ini dengan menyebut: “Pada hadith ini merupakan dalil gugurnya kewajipan berjumaat dengan sebab adanya keuzuran apabila turun hujan lebat dan seumpamanya. Itulah pandangan mazhab kami dan selainnya.

واالله تعالى أعلم بالصواب.

 

Rumusan

Kesemua pendalilan pertukaran lafaz azan tersebut adalah berpandukan hadith sahih dan pengistinbatan dalil daripada fuqaha’ dalam menjelaskannya. Justeru, azan dan solat berjemaah merupakan syiar Islam. Walaubagaimana pun terdapat rukhsah keuzuran yang dibenarkan syarak, antaranya:

  • Agar tidak menyusahkan dalam suasana yang sukar seperti hujan lebat, angin kuat, gelap-gelita dan lain-lain
  • Demi menjaga kemaslahatan umat
  • Apabila timbul ketakutan
  • Demi menjaga keamanan dan keselamatan

Jika tiada rukhsah atau keuzuran yang dibenarkan maka setiap Muslim adalah dituntut mengamalkannya.

 

Sumber rujukan:

  • Kitab Sahih al-Bukhari
  • Kitab Sahih Muslim
  • Kitab Sunan Abu Dawud
  • Kitab Sunan Ibn Majah
  • Kitab Fathu al-Bary
  • Kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim
  • Kitab Syuruh Sunan Ibn Majah
  • Kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab
  • Kitab Fathu al-‘Alam Bisyarhi Mursyidi al-Anaam
Pin It