A- A A+





Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith
Senarai Al Manhal Al Tanwir Lil Hadith

Soalan kemusykilan:

Betul ke hadith ini?

“Janganlah kalian membunuh katak kerana sesungguhnya suaranya adalah tasbih, dan janganlah kalian membunuh kelawar kerana sesungguhnya ketika Baitul Maqdis dihancurkan, ia berdoa: “Wahai Tuhanku, berilah aku kekuasaan terhadap lautan agar aku boleh menenggelamkan mereka.” (Hadith riwayat al-Baihaqiy).

 

Jawapan:

Setelah dibuat carian dan semakan dijumpai hadith ini:

 

Matan hadith:

عَن عَبدِ اللهِ بنِ عَمرِو بنِ العَاصِ قالَ : لاَ تَقتُلُوا الضَّفَادِعَ فَإنَّ نَقِيقَهُنَّ تَسبِيحٌ ، وَلاَ تَقتُلُوا الخُفَّاشَ، فَإِنَّهُ لَمَّا خُرِّبَ بَيتُ المَقدِسِ، قَالَ :
يَا رَبِّ، سَلِّطْنِي عَلَى البَحرِ حَتَّى أُغْرِقَهُم. رواه البيهقي في سنن الكبرى والصغرى.
Maksudnya:
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, beliau berkata: “Janganlah kalian membunuh katak kerana sesungguhnya suaranya adalah tasbih, dan janganlah kalian membunuh kelawar kerana sesungguhnya ketika Baitul Maqdis dihancurkan, ia berdoa: “Wahai Tuhanku, berilah aku kekuasaan terhadap lautan agar aku boleh menenggelamkan mereka.”

 

Sumber hadith:

1. Hadith ini diriwayat oleh Imam al-Baihaqiy secara mauquf dalam Sunan al-Kubra (9/318), Kitab al-Dhahaya, Bab Ma Yahillu wa Ma Yahrumu min al-Hayawaanat, no. 17793.

2. Imam al-Baihaqiy juga dalam Sunan al-Syughra, Kitab al-Shoydi, Bab Ma Yahrumu min jihati ma la ta’kulu al-‘Arab, no. 3082.

3. Ibn Hajar al-Asqolani dalam kitabnya al-Talkhish al-Habir, Bab al-Muharramat al-Ihram (2/1096, hal.525) juga menaqalkan hadith ini daripada Imam al-Baihaqy.

 

Penilaian hadith:

Menurut Imam Al-Baihaqiy, hadith ini adalah mauquf dan sanadnya sahih. Namun Imam Ibn Hajar al-Asqolani dalam kitabnya al-Talkhish al-Habir (4/2452, hal: 283) berkata: “Sekalipun sanadnya sahih, akan tetapi Abdullah bin ‘Amr mengambil kisah ini daripada kisah-kisah Israiliyat.

 

Kesimpulan:

Hadith ini adalah sahih sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqy dan komentar Imam Ibn Hajar al-Asqolani terhadap hadith tersebut. Manakala hadith ini mula disebarkan apabila penularan koronavirus (2019-nCov) melanda beberapa tempat di negara China dan ianya pula dikaitkan dengan larangan membunuh katak dan kelawar daripada hadith ini. Kebetulan ataupun kemungkinan punca tersebut tidaklah diketahui secara jelas. Namun yang pasti setiap penyakit ada puncanya dan sebagai seorang Muslim hendaklah sentiasa berpegang kepada ajaran al-Quran dan Nabi SAW dengan memohon perlindungan dan menjauhi apa yang telah dilarang. Dalam masa yang sama hendaklah mengukuhkan keimanan kepada qada’ dan qadar yang telah ditentukan Allah SWT.
Wallahu a’lam.

Pin It