A- A A+





Rujukan
Senarai Bahan Rujukan Dalam Bidang Hadith

sahih albukhari

 Nama Sebenar Kitab

Imam al-Bukhari telah memberi nama yang cukup istimewa bagi karya sahihnya iaitu "الجامع المسند الصحيح المختصر من أُمور رسول الله صلى الله عليه وسلّم وسننه وأيامه". Walaubagaimanapun, karya ini terkenal dengan nama Sahih al-Bukhari. 

 

Sebab Penulisan Sahih al-Bukhari

Terdapat dua sebab imam al-Bukhari menulis sahihnya sebagaimana yang dinyatakan:

  • Pertama: Guru beliau iaitu Ishak bin Rahawaih telah menyampaikan hasratnya atau mencadangkan kepada muridnya agar menghimpunkan hadith-hadith yang sahih, Maka, kata-kata itu sangat memberi kesan di dalam hatiku.
  • Kedua: Beliau (imam al-Bukhari) telah bermimpi bahawa beliau berdiri di sisi rasulullah SAW serta dalam masa yang sama, beliau mengipas rasulullah SAW. Setelah itu, beliau bertanya kepada penafsir mimpi berkaitan mimpi beliau. Penafsir mimpi mengatakan bahawa beliau akan menghalang pendustaan terhadap rasulullah SAW. Disebabkan itulah yang membuatkan aku untuk menghasilkan karya ini.

Manhaj Imam al-Bukhari
 

Imam al-Bukhari telah memilih hadith-hadith yang sahih untuk dimuatkan di dalam karya beliau ini. Akan tetapi, beliau tidak meletakkan ke semua hadith-hadith yang sahih kerana khuatir ia akan menjadi panjang (terlampau banyak hadith). Selain itu juga, imam al-Bukhari akan memilih hadith-hadith yang bersesuaian dengan bab-bab yang terdapat di dalam sahihnya. Tambahan pula, imam al-Bukhari terkenal dengan manhaj ikhtisar (memendekkan teks atau matan hadith) iaitu beliau tidak mendatangkan matan hadith dengan penuh.

Jika melihat kepada nama sahih al-Bukhari, itu telah jelas menunjukkan manhaj imam al-Bukhari dalam menghasilkan karya beliau ini. Antaranya, al-Jami’ iaitu menghimpunkan, al-sahih iaitu hadith-hadith yang sahih, al-Musnad iaitu hadith-hadith yang mempunyai sanad yang bersambung kepada rasulullah SAW dan juga al-Mukhtasar iaitu memendekkan atau memotong matan hadith. Di samping itu, imam al-Bukhari telah memilih daripada 100 ribu hadith yang sahih untuk dimuatkan ke dalam karya beliau. Hal ini difahami melalui perkataan imam al-Bukhari sendiri:

 أَحْفَظُ مِائَةَ أَلْف حَدِيْث صَحِيْح وَأَعْرِفُ مِائَتَيْ أَلْف حَدِيْث غَيْر صَحِيْح

Maksudnya: “Aku menghafal 100 ribu hadith yang sahih dan aku juga tahu 200 ribu hadith yang tidak sahih”.

 

Cara-Cara Imam al-Bukhari Menulis Hadith Di Dalam Sahihnya

Imam al-Bukhari sendiri mengatakan bahawa beliau tidak akan menulis hadith di dalam karyanya itu melainkan beliau akan membersihkan diri (mandi atau berwudhuk) terlebih dahulu dan solat dua rakaat. Solatnya ini merupakan solat istikharah memohon pertolongan kepada Allah SWT agar menerima amalannya ini serta memberkatinya.

Tempat-Tempat Penulisan Kitab Sahih al-Bukhari
 

Imam al-Bukhari menulis kitab atau karyanya ini di beberapa tempat dan bukan di satu tempat sahaja. Hal ini diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar bahawa beliau (imam al-Bukhari) mula menulis dan menyusun bab-bab di dalam sahihnya di Masjid al-Haram. Kemudian, beliau mula mengtakhrij hadith-hadith di dalam sahihnya di negerinya dan negeri-negeri yang lain. Disebabkan itu, sahih al-Bukhari ini dihasilkan dalam tempoh 16 tahun sebagaimana dikhabarkan oleh imam al-Bukhari sendiri.

Penyemakan Sahih al-Bukhari
 

Setelah imam al-Bukhari selesai menghasilkan karyanya, beliau tidak terhenti di situ. Bahkan beliau meminta ulama’ besar hadith di zamannya untuk menilai dan menyemak karyanya itu. Antara yang terlibat dalam menilai sahih al-Bukhari ini ialah Ali bin al-Madini, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma’in dan ramai lagi. Kesemua mereka bersaksi akan kesahihan hadith-hadith yang terdapat di dalam sahih al-Bukhari ini melainkan empat buah hadith sahaja. Cara ini digunakan juga oleh imam Malik bin Anas setelah beliau meminta 70 orang ulama’ di zamannya untuk menilai karya Muwattha’nya.

Sebab-Sebab Sahih al-Bukhari Lebih Utama Daripada Sahih Muslim
 

Terdapat beberapa sebab sahih al-Bukhari lebih utama daripada sahih Muslim, antaranya:

  • Syarat Imam al-Bukhari lebih ketat berbanding imam Muslim.
  • Imam al-Bukhari mengsyaratkan hadith ‘An’anah mestilah bersambung dan tidak terputus antara perawi.
  • Hadith yang dipertikai di dalam sahih al-Bukhari adalah lebih sedikit berbanding di dalam sahih imam Muslim.
  • Ketokohan imam al-Bukhari lebih terserlah berbanding imam Muslim dalam bidang hadith. Ini kerana, imam Muslim merupakan murid kepada imam al-Bukhari.

 

Syarat-Syarat Imam al-Bukhari

Berikut adalah syarat-syarat hadith Sahih yang telah disepakati oleh para ulama’ adalah:

  •           Sanadnya bersambung.
  •       Perawinya perlulah seorang yang adil (tidak berdusta)
  •           Perawinya perlulah seorang yang sempura dhabitnya (ingatannya).
  •           Tidak syaz (riwayatnya tidak bercanggah dengan riwayat perawi yang thiqah).
  •          Tidak ada ‘illah (kecacatan).

Imam al-Bukhari telah menambah satu syarat yang ketat iaitu mesti berlaku pertemuan antara perawi (ثبوت اللقاء), manakala imam Muslim hanya mensyaratkan sezaman (المعاصرة) kerana kemungkinan berlaku pertemuan antara perawi-perawi kerana mereka sezaman.

Penyusunan Hadith-Hadith Di Dalam Sahih al-Bukhari

Imam al-Bukhari menyusun hadith-hadith di dalam sahihnya mengikut kitab (tajuk utama) dan setiap kitab itu mempunyai bab-bab tertentu. Di samping itu, kitab yang pertama adalah permulaan wahyu dan diakhiri dengan kitab al-Tauhid. Antara kitab atau tajuk utama lain yang terdapat di dalam sahih al-Bukhari adalah kitab al-Iman, kitab ilmu, kitab wudhuk, kitab mandi, kitab haidh, kitab tayammum, kitab solat dan beberapa kitab atau tajuk lagi. Pada penyusunan kitab dan bab inilah terserlah akan fiqh imam al-Bukhari, Disebabkan itu, para ulama’ mengatakan fiqh imam al-Bukhari terletak pada terjemah bab-babnya. Ini kerana, daripada situ para ulama’ dapat mengenalpasti akan pendapat-pendapat imam al-Bukhari dalam permasalahan fiqh.

Jumlah Hadith Di Dalam Sahih al-Bukhari

Berikut adalah jumlah hadith di dalam sahih al-Bukhari walaupun bilangannya menjadi perselisihan oleh para ulama’ disebabkan sebahagian mereka menjadikan menghimpunkan atau memisahkan bilangan hadith-hadith samada ia adalah mutaba’at, mu’allaqat dan juga hadith-hadith yang berbeza riwayatnya.

 

 Menurut Imam Ibn Solah [Lihat: al-Hadith fi Ulum al-Qur’an wa al-Hadith, 197]:

  • Jumlah hadith keseluruhannya: 7275
  • Jumlah hadith yang tidak berulang: 4000

Menurut Imam al-Nawawi [Lihat: Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 73/1]:

  •            Jumlah hadith keseluruhannya: 7275
  •            Jumlah hadith yang tidak berulang: 4000

      Menurut Imam al-Hafiz Ibn Hajar [Lihat: al-Hadith fi Ulum al-Qur’an wa al-Hadith, 197]:

  •             Jumlah hadith keseluruhannya: 9082
  •            Jumlah hadith yang tidak berulang: 2602

      Menurut Dr. Abu Laith [Lihat: Ulum al-Hadith, 65]:

  •         Jumlah hadith keseluruhannya: 9082
  •         Jumlah hadith bersambung (Mausul) yang tidak berulang: 2602
  •         Jumlah mutaba’at: 341

 

Sanjungan ulamaterhadap sahih al-Bukhari

 

Penutup

Kesimpulannya, tidak disangkal lagi bahawa imam al-Bukhari merupakan seorang tokoh yang telah banyak berjasa dan keilmuan beliau dalam bidang hadith tiada tandingannya. Hal ini dapat dilihat apabila beliau telah berjaya menghasilkan sebuah karya yang cukup hebat dan agung sehinggakan kedudukannya selepas daripada al-Qur’an. Tambahan pula, ijma’ umat ini menerima bahawa hadith-hadith di dalam sahih al-Bukhari kesemuanya adalah sahih. Ini menunjukkan keberkatan dan keikhlasan beliau dalam menghasilkan karya ini. Akhirnya, semoga Allah SWT merahmati beliau dan semoga Allah SWT mengurniakan kita kesungguhan dan keikhlasan dalam memartabatkan sunnah Nabi SAW. Amin.Wallahua'lam

 

Rujukan :

1- Manahij al-Muhaddithin- Terbitan : Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Cetakan Kedua, 2016. Muka surat 87-104.

Pin It