A- A A+





Glosari Hadith
Senarai Glosari Hadith

Adab-adab ini merupakan adab-adab yang mesti dimiliki oleh setiap penuntut ilmu. Hal ini akan menjelaskan bagaimana cara untuk membentuk diri untuk mendapatkan ilmu. Tetapi ahli hadith amat menekankan dan mengkhususkannya kepada penuntut ilmu hadith Nabawi disebabkan kepentingan ilmu ini. Adab-adab yang mengukuhkan dan memantapkan diri seorang penuntut ilmu hadith ini mestilah dititikberatkan serta beriltizam dengannya. Berikut adalah kesimpulan daripada adab-adab tersebut:

  1. Mengikhlaskan niat kepada Allah SWT dalam menuntut ilmu hadith.
  2. Tidak mencari ilmu ini dengan hanya bertujuan mendapatkan habuan dunia.
  3. Berakhlak dengan akhlak yang mulia.
  4. Bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu ini.
  5. Berperingkat-peringkat dalam menuntut ilmu ini dan bersabar. Dia seharusnya memulakan penumpuannya terlebih dahulu terhadap kitab al-Muwatta, kemudian al-Sahihain (Bukhari dan Muslim), kemudian Sunan Abi Dawud, Jami’ al-Tirmizi, Sunan al-Nasa’i dan Sunan Ibn Majah.
  6. Hendaklah dia bermula menuntut ilmu dengan para ulama di negaranya, mendahulukan mendengar daripada seorang ulama yang paling senior, berilmu, masyhur dan diakui kehebatannya di dalam agama, serta memperbanyakkan majlis bersama dengan ulama seumpama ini.
  7. Mengembara mencari ilmu ini mengikut kadar kemampuannya.
  8. Dia tidak memberi penumpuan kepada hadith-hadith Daif dan Maudu’.
  9. Mengulang kembali hadith-hadith yang telah dihafal, dibaca daripada ilmu hadith muzakarah merupakan cara yang terbaik untuk mengingati semula dan menghayati hadith tersebut.
  10. Menitikberatkan tajwid (cara sebutan, fasahah, baris) sesebuah hadith. Ini kerana sebutan bertajwid merupakan perkataan yang terbaik, berbahasa Arab dan melambangkan kefasihan orang yang menyebutnya. Kesemua perkara ini terdapat dalam peribadi baginda SAW Maka sesiapa yang berbicara dengan hadith baginda SAW, dia mesti meraikan dan memastikan sebutannya sepertimana sebutan baginda SAW.
  11. Berusaha untuk beramal dengan apa yang didengari dan dibaca daripada ilmu ini.
  12. Bekerjasama dengan rakan-rakannya (di dalam menuntut ilmu), di samping mementingkan amalan nasihat-menasihati serta berusaha mendapatkan faedah daripada ilmu ini.
  13. Menghormati dan memuliakan ahli hadith dan sesiapa sahaja yang didengari hadith daripadanya. Ini adalah di antara cara memuliakan ilmu.
  14. Tidak terlalu lama bersama dengan guru-gurunya (dalam suatu tempoh menuntut ilmu sehingga pada waktu rehat dan ibadah bagi gurunya) serta menyukarkan guru-gurunya.
  15. Sentiasa memastikan perlakuannya diredhai oleh guru-gurunya dan menjauhi segala perlakuan yang mengundang kemarahan gurunya.
  16. Menjauhi sifat takabbur.
Pin It