Perawi: Ibnu Abbas RA
Koleksi: Sunan Abu Dawud
Kitab: كِتَاب الْوِتْرِ - Witir
Bab: بَابُ في الِاسْتِغْفَارَ - Pada menyatakan Istighfar
No. Hadith: 1518
Matan Hadith:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ.

[التخريج: سنن أبي داود ، كِتَاب الْوِتْرِ ، بَابُ في الِاسْتِغْفَارَ ، حديث رقم 1518 ، عن إبن عباس رضي الله عنهما ،وقال الأرنؤوط حديث ضعيف]

Terjemahan:

Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT akan menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, dan daripada setiap kebimbangannya itu kelapangan dan dikurniakan kepadanya rezeki daripada sumber yang tidak disangka-sangka”. (Hadith riwayat Abu Daud, No. 1518, Ibnu Majah, No. 3819, Ahmad, No. 2123).

Menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh: Sanadnya dhaif kerana salah seorang perawi bernama al-Hakam bin Mus’ab padanya jahalah (tidak dikenali) sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi]

Status Hadith: Dhaif
Pengajaran:
  1. Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Namun, Allah SWT hanya mengampuni hamba-Nya yang benar-benar memohon keampunan dan tidak mensyirikkan-Nya.
  1. Maksud lafaz istighfar itu bukan sekadar menuturkannya di bibir, tetapi ianya satu pengakuan seorang hamba untuk memohon keampunan bukan sahaja terhadap dosa-dosa dan kesilapan yang telah dilakukan, bahkan terhadap sebarang kekurangan dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT. Seseorang Muslim akan sentiasa memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah SWT kerana itulah jalan orang yang bertaqwa.
  1. Dengan beristighfar, Allah SWT akan akan mengurniakan keampunan dan manfaat bukan sahaja di dunia, bahkan di akhirat nanti syurga yang menanti. Lazimilah istighfar ibarat musafir di padang pasir yang keputusan bekalan makanan, yang bermain dibenak fikiran dan bibirnya hanyalah air. Begitulah sifat seorang mukmin yang sentiasa membasahi lidahnya tidak lain dan tidak bukan hanyalah istighfar.

Sumber rujukan:

  1. Kitab Sunan Abu Dawud
  2. Kitab Sunan Ibnu Majah
  3. Kitab Musnad Ahmad
  4. Kitab Auni Ma'bud Li Abi Dawud
  5. Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih
  6. Kitab Dalil Al-Falihin Li Turuqi Riyadus Solihin